BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Friday, May 7, 2010

Sempurnakan Sujudmu

Dari Anas RA katanya, Rasulullah SAW bersabda:”Sempurnakanlah sujud mu! Jangan membentangkan dua siku seperti anjing (tidur).”
Sujud ialah meletakkan kepala di bumi. Ketika sujud, fikiran berada lebih rendah dari hati. Ulama’ mengatakan bahawa sujud ketika solat adalah waktu manusia paling hampir dengan Allah SWT. Sebenarnya ketika seseorang manusia itu mengerjakan solat, berpuluh-puluh iblis akan datang menggoda. Sesetengahnya datang pada setiap anggota badan supaya datang perasaan malas, was- was, terlupa bilangan rakaat, bimbang pada pekerjaan dunia yang ditinggalkannya, sentiasa hendak cepat, hilang khusyuk dengan mata sentiasa menjeling ke kiri ke kanan, telinga sentiasa mendengar orang bercakap serta bunyi-bunyian yang lain. Malah ada juga iblis yang duduk di belakang badan orang yang solat itu supaya ia tidak dapat sujud lama kerana penat atau sebagainya. Ketika sujud kita digalakkan bertafakur beberapa ketika. Dari segi kesihatan bersujud boleh mengelak dari penyakit pening atau migrain. Ini terbukti oleh para saintis yang membuat kajian kenapa dalam sehari kita perlu bersujud.


Ahli-ahli sains telah menemui bahawa terdapat beberapa milimeter ruang udara dalam saluran darah di kepala yang tidak dipenuhi darah. Dengan bersujud maka darah akan mengalir ke ruang berkenaan. Dalam solat, cara sujud mestilah mengikut kaedah yang paling sempurna iaitu turun ke bawah dengan tangan, meletakkan ia ke bawah sebelum lutut. Kita dilarang meniru cara unta duduk iaitu cara duduk dengan lutut dahulu. Hendaklah jadikan tapak tangan sama aras dengan kedua bahu. Tidak meletakkan (melebarkan) lengan di tanah seperti anjing. Meletakkan hidung dan dahi di atas bumi. Begitu juga dengan lutut. serta perut jari kaki. Menegakkan kaki dengan tumit berdiri tegak selari. Semua anggota yang disebutkan tadi dipanggil sebagai anggota sujud yang menentukan sempurna atau tidaknya sujud seseorang yang sedang solat iaitu sebagaimana yang diperintahkan oleh Rasulullah SAW.

Rahsia Dan Nikmat Di Sebalik Erti Kesabaran


Pendahuluan

Sabar adalah suatu tuntutan dalam agama dan merupakan satu ibadah. Malah segala ibadat itu didirikan di atas sifat sabar, kerana dalam mengerjakan ibadat itu kita terpaksa menghadapi rintangan dan memerlukan pengorbanan.

Dalam segala lapangan, kita perlu bersabar dan menangani segala kesukaran dan rintangan yang dihadapi. Orang yang gagal bersabar tidak akan tercapai matlamat dan manfaat ibadatnya.

Kesabaran itu harus meliputi empat tindakan, iaitu:

* tabah dan tekun dalam mengerjakan taat atau ibadat kepada Allah;
* menahan diri daripada melakukan maksiat atau kemungkaran;
* memelihara diri daripada dipukau oleh godaan dunia, nafsu dan syaitan;
* tenang / teguh hati menghadapi cubaan atau musibah.

Tujuan sabar

Antara tujuan kita disuruh mempertahankan kesabaran itu ialah:

Pertama, supaya dapat mengerjakan ibadat dengan tenteram agar tercapai kesempurnaan dan matlamatnya. Jika tidak bersabar, pelbagai musibah menjadikan kita keluh-kesah, lalu kehilangan punca kekusutan dan pertimbangan. Keadaan ini tentulah akan mengganggu konsentrasi dan penghayatan dalam kerja ibadat, khususnya. Kadang-kadang sampai tidak dapat meneruskannya.

Kedua, untuk mencapai kejayaan (kebajikan dunia dan akhirat).

Allah Taala menganjurkan kita supaya bersabar. Antara firman Allah Taala mafhumnya: "Wahai oranag - orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara - perkara yang berkebajikan ), dan kuatkanlah kesabaran kamu ( lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan ), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah - daerah sempadan) serta bertakwalah kamu kepada Allah, supaya kamu berjaya(mencapai kemenangan).(Surah Ali Imran3:200)

Apabila seseorang itu berjaya mempertahankan kesabarannya dalam keempat-empat keadaan tersebut, maka tercapailah darjat istiqamah dan taat dengan mendapat ganjaran pahalanya yang besar terhindar daripada jurang maksiat.

Saiyidina Ali Abu Talib K.A.W pernah bermadah, maksudnya "Jika engkau bersabar, takdir itu berlaku juga ke atas diri mu, tetapi engkau dikurniakan ganjaran pahala. Jika engkau tidak sabar pun, takdir tetap berlaku juga ke atas dirimu dan engkau berdosa".

Dalam konteks menghadapi ujian (qadha') atau musibah, seseorang hamba Allah itu, insya Allah, akan berjaya menanam sifat sabar dalam dirinya, sekiranya dia sentiasa mengingati atau mengekalkan kesedaran tentang hakikat dan hikmah musibah itu serta sentiasa menaruh sangkaan baik terhadap Allah Ta'ala. Malah, dengan yang demikian, kesabaran dan keimanannya akan bertambah teguh. inilah tindakan wajar orang yang bersabar. kita tidak seharusnya marah atau kesal mengikut arus perasaan atau rangsangan nafsu syaitan, kerana kita tidak tahu hikmat disebalik takdir itu. Misalnya pesakit adalah salah satu daripada jutaan ujian daripada Allah.

Melalui penyakit, kita diuji oleh Allah Taala sejauh mana kesabaran dan keimanan kita, bagaimana usaha atau ikhtiar kita merawatinya, sama ada dengan cara yang bersendikan tawakal dan tafwid atau melibatkan perbuatan syirik, yakni bergantung kepada yang lain daripada Allah dan melakukan perkara-perkara mungkar yang lain.

Kalau ditakdirkan usaha rawatan itu gagal dan penyakit itu bertambah tenat, maka itu adalah ujian yang lebih besar, khususnya kepada si pesakit. Maka sekiranya penyakit itu akhirnya membawa maut, maka ujian itu melibatkan keluarga pula. Kita tidak tahu apakah hikmah dan hakikat di sebalik apa yang ditakdirkan oleh Allah.

Justeru itu, kita sebagai hamba Allah hendaklah menghadapinya dengan hati yang tenang, penuh kerelaan dan penuh kesabaran. Kaedah terbaik ialah berikhtiar mengatasinya dengan seberapa daya mengikut kemampuan kita sebagai hamba Allah.

Di dalam mewujudkan kesabaran, kita hendaklah sentiasa menyedari bahawa kadar dan waktu berlakunya kesusahan atau musibah itu adalah di bawah takdir Allah Ta'ala yang Maha Berkuasa. Ketetapan kadar itu tidak bertambah atau berkurang dan waktunya tidak terdahulu atau terkemudian.

Bagaimana cara untuk memelihara atau mengekalkan kesabaran itu pula adalah dengan sentiasa mengingati bahawa kesabaran itu bakal dibalas dengan ganjaran kebaikan dan pahala yang disimpan khas oleh Allah Taala.

Sebagaiman firman Allah dalam surah al-Asr, ada menyebutkan agar kita saling ingat-mengingati akan kebenaran dengan kesabaran

Secara keseluruhannya, kesabaran itu merupakan ubat yang paling pahit tetapi yang paling mujarrab dan keberkatan daripada kesabaran itu membawa manfaat kepada kita sekali gus menolak mudarat daripada kita. Sebagai ubat, pahitnya hanya sesaat, tetapi manisnya berpanjangan.